Sabtu, 10 Mac 2012

Kisah sebatang pensel



Assalamualaikum w.b.t. 


Kali ni ana nak kongsi satu kisah. Satu kisah yang sangat terkesan. InsyaALLAH bermanfaat buat semua.


Kisah sebatang pensel

Ada sebuah kisah dan cerita.

Seorang pembuat pensel baru sahaja menyelesaikan tugasnya mencipta sebatang pensel di kilangnya. Tiap-tiap hari, pekerjaannya ialah mencipta dan membuat pensel untuk kegunaan orang ramai.

Pensel yang diciptakannya itu, akan dibuat dengan penuh ketelitian, penuh kesungguhan dan ketekunan. Dia inginkan pensil itu adalah pensel yang bagus, baik dan terbaik!

Si pensel begitu bersemangat untuk menjalani kehidupannya sebagai sebatang pensel. si pensel teruja untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kelak. Berkhidmat sebagai sebatang pensel yang bermutu dan disukai ramai. Sehinggalah, si pembuat pensel sedang membungkus pensil itu untuk disusun di dalam kotak untuk diedarkan ke pasaran dan ketika itulah, si penulis memberi nasihat kepada pensel itu.

Katanya : “ Wahai pensel, kamu ingatlah pesanan aku ini agar kamu boleh menjadi pensel yang terbaik.”

“ Pertama, untuk menjadi pensel yang terbaik kamu mesti membenarkan diri kamu untuk berada dalam genggaman seseorang.”

Pensel mendengar dengan penuh khusyuk.

“ Kedua, apabila berlalunya masa kamu akan menjadi tumpul dan ketika itu, kamu perlu bersedia untuk mengalami kesakitan dan kepedihan apabila diasah agar kamu kembali tajam.”

“ Ketiga, bahagian anggota kamu yang paling berharga dan bernilai ialah bahagian dalaman kamu. Bahagian inilah yang akan menentukan berkualitinya diri kamu atau tidak. Karbon dalam diri kamulah yang akan menjadikan kamu pensel yang berkualiti atau sebaliknya.”

Pensel tetap setia mendengar pesanan si pembuatnya.

“ Keempat, kamu juga harus bersedia untuk memadam segala kesilapan-kesilapan yang telah kamu lakukan dengan segera.”

Si pembuat pensel berhenti seketika, sambil merenung tajam kepada pensel.

“ Dan yang terakhir, kamu perlu ingat di atas permukaan apa pun, sama ada lincin, kasar, tidak rata atau sekata kamu perlu meninggalkan kesan dan bekas. Kamu harus melakukan tugas kamu dengan nyata dan jelas sebagai sebatang pensel. Biarpun sukar, kamu mampu melakar dengan baik! ”

Pensel terdiam. Dia membiarkan dirinya dibalut dan dibungkus di dalam kotak. Ketika itu, dia berazam untuk menjadi pensel yang terbaik.

Saya lihat, wajah anda berkerut kehairanan. Betul tak? Sebenarnya saya ingin kongsi sesuatu dengan anda. Sebuah analogi yang baik untuk sama-sama kita renungi.

Mari kita letakan diri kita dalam situasi si pensel itu. Jika pensel itu adalah pensel yang terbaik, ia perlu melakukan apa yang telah dipesankan oleh si pembuat kepadanya itu dengan nyata dan bersungguh-sungguh.

Apa kata kita letakan situasi analogi itu kepada diri kita. Untuk menjadi manusia yang terbaik, kita perlu melihat nasihat dan pesanan si pembuat pensel itu dalam presepsi dan sudut pandang kita sebagai insan, manusia dan hamba.

Manusia yang terbaik
Kita jadikan analogi diatas sebagai panduan dan kita reflekkannya kepada diri kita.

Pertama, untuk menjadi manusia yang terbaik kita perlu berada dalam genggaman Allah SWT. Kita perlu berada dalam naungan dan membenarkan diri untuk meyakini, mengimani, mematuhi dan mentaati-Nya sepenuh jiwa dan hati.

Firman Allah SWT :

“ Katakanlah (Muhammad) : “ Apakah (patut) aku mencari tuhan selain Allah, padahal Dialah Tuhan bagi segala sesuatu. Setiap perbuatan dosa seseorang, dirinya sendiri yang bertanggungjawab. Dan seseorang tidak akan memikul beban dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali, dan akan diberitahu-Nya kepadamu apa yang kamu dahulu kamu perselisihkan.” [1]

Kedua, untuk menjadi manusia yang hebat dan tabah kita sebagai manusia perlu menahan kepedihan apabila diasah dan diasak dengan ujian-ujian, dugaan dan cabaran yang Allah SWT berikan.

Firman Allah SWT :

“ Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “ Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?” [2]

Ketiga, untuk menjadi manusia yang terbaik – seseorang itu perlu memiliki bahagian dalaman yang terbaik. Apakah bahagian itu?

Ia adalah hati. Hatinya perlu dipenuhi dengan keimanan kepada Allah, ia sentiasa memelihara hubungan dengan Allah SWT dan hati itu ia sangat bersih, jernih, bercahaya dan berkualiti.

Keempat, untuk menjadi manusia yang terbaik – seseorang perlu bersedia memadam segala kesalahan-kesalahannya yang bertentangan dengan syara. Dosa dan maksiatnya harus dihapuskan dengan linangan air mata taubat. Ia perlu sentiasa bertaubat dan memperbaharui taubat.

” Katakanlah, “ Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah SWT. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.” [3]

Dan yang terakhir iaitu yang kelima,

Untuk menjadi manusia yang terbaik, kita perlu menzahirkan amalan kita walau apa pun situasi dan keadaan dengan keikhlasan, keimanan dan keyakinan yang membulat kepada Allah SWT. Manusia yang terbaik, akan memberikan kesan dan pengaruh terhadap suasana di sekelilingnya.

(1) – Semua manusia berhajat, berkeinginan dan menyimpan hasrat untuk menjadi terbaik. Namun, hanya segelintir sahaja yang bergerak dan bersungguh menuju jalan-jalan yang akan mendekatkannya kepada tangga kejayaan untuk menjadi yang terbaik.

(2) – Pensel dan manusia adalah 2 unsur yang berbeza. Namun analogi di atas mewujudkan persamaan yang sangat mengena. Saya termenung panjang apabila memikirkannya.
(3)- Jika kita lihat, untuk menjadi terbaik hal ini kembali kepada diri kita dan perubahan yang harus kita gerakkan. Memang benar, jika inginkan yang terbaik kita harus melakukan perubahan, untuk melakukan perubahan kita harus berkorban. Pergorbanan itu benar-benar diperlukan untuk menjadi yang terbaik!


p/s Kisah ini ana ambil bulat-bulat dari satu post seorang rakan. Sekian :)

1 ulasan:

  1. mcm karangan autobiografi aku sebatang pensel..hehe :)
    tp tersentuh sgt~~

    BalasPadam